Sunday, March 9, 2008

Waspada ubat kuat

HUBUNGAN seksual memainkan fungsi penting dalam kehidupan seseorang. Bayangkan, mereka yang mengalami masalah alat kelamin atau ketika melakukan hubungan seksual pasti menghadapi hari sukar di dalam hidup.

Sehubungan itu, mempunyai anggota kelamin sihat, segar dan dapat berfungsi dengan penuh yakin menjadi idaman semua orang, sama ada lelaki atau wanita.

Wanita pula prihatin dengan penjagaan alat kelamin mereka dengan pengunaan pencuci pembersih untuk bahagian luar selain pelekat sulit (panty-liner) atau ‘tampon’ untuk mengawal cairan haid atau lelehan faraj.

Ini berbeza dengan lelaki yang tidak peka dan mungkin jahil mengenai penjagaan anggota sulit mereka, dan berdasarkan pengalaman, mereka hanya bertindak apabila menghadapi sesuatu masalah seperti anggota kelamin membengkak, keradangan dan melecet.

Namun, perkembangan semasa menyaksikan lelaki kini lebih terbuka dan memberi lebih perhatian kepada anggota sulit mereka.

Yang menimbulkan masalah ialah kecenderungan mereka menggunakan produk yang tidak bersesuaian dan memudaratkan anggota kelamin atau membazirkan duit membeli barangan yang tiada khasiat.

Saya bimbang melihat keghairahan lelaki sekarang yang mudah terpengaruh dengan ‘hujah tepi jalan’ atau iklan tanpa pengesahan pakar kesihatan mengenai produk ‘ajaib’ yang kononnya dapat membesarkan anggota sulit atau membuat mereka menjadi lelaki hebat.

Amaran daripada saya, jangan sesuka hati membeli produk tanpa kelulusan, terutama daripada Kementerian Kesihatan. Lupakan khayalan menjadi lelaki hebat hanya dengan menyapu krim atau memakan ubat yang tidak diketahui asal-usulnya.

Lebih berbahaya semua bahan itu tidak pernah menjalani uji kaji yang berpotensi menyebabkan masalah serius alat kelamin lelaki.

Satu lagi nasihat saya ialah anggota sulit lelaki seperti juga wanita mempunyai kulit halus, licin, mudah mengembang dan sentiasa lembap. Ia bukan daripada jenis menggerutu dan mengering.

Salur darah dan urat saraf merentasi kulit anggota sulit jelas kelihatan kerana kulit itu tiada selaput lemak.

Tisu di bawah kulit zakar ialah tisu pengembang atau ‘lax connective’ yang mudah mengembang dan melebar apabila anggota sulit mengembang dan memanjang.

Jadi kulit kering atau terlalu nipis dan tebal menyebabkan kesukaran untuk mengembang, malah kemelecetan apabila ereksi berlaku.

Sehubungan itu, saya ingin lelaki ‘membuka mata’ dengan membeli produk yang mendapat kelulusan kementerian untuk menjaga alat kelamin mereka sebagai bahan pelembap yang mesra kulit.

Jika ada krim sedemikian, ia boleh dianggap krim peribadi lelaki untuk kesejahteraan alat sulit dan bukan untuk membesarkan atau menghebatkan atau menguatkan penggunanya kerana itu tidak akan berlaku.

No comments: